
PADA usia 67 tahun, kerjaya Alex Ferguson sebagai pengurus Manchester United tidak akan bertahan lama. Dia dijangka bersara terus daripada pengurusan bola sepak, kemungkinan dalam tempoh setahun dua lagi.
Namun, tidak seperti kebanyakan bekas pengurus dan pemain, Ferguson tidak berminat mengembangkan kerjayanya kepada menjadi pengulas perlawanan di televisyen selepas bersara kerana menganggapnya berlawanan dengan prinsip hidupnya.
Ikuti sedutan sebahagian temubual Ferguson dengan sebuah majalah politik di England, bulan lalu.
SOALAN (S): Dalam skala satu hingga 10, sejauh mana pengetahuan dan minat anda terhadap politik?
ALEX FERGUSON (AF): Dalam bola sepak, saya anggap diri saya 10. Saya meminati politik dan mengikuti perkembangannya. Jadi saya berikan diri saya tujuh setengah dalam aspek itu.
S: Bola sepak banyak berubah berbanding ketika era anda sebagai pemain. Sekarang ini, pemain berusia 20-an sudah jadi jutawan. Pasti anda terpaksa mengubah cara pengurusan.
AF: Saya berada dalam bola sepak sepanjang semua perubahan itu berlaku dan saya berjaya menyesuaikan diri serta membantu pemain mengharunginya. Sebahagian daripada kerja saya ialah memastikan pemain berpijak di bumi nyata. Saya menekankan etika kerja yang meletakkan mereka di tempat sekarang dan mereka tidak boleh kehilangannya. Saya katakan kepada mereka, "Apabila pulang ke rumah berjumpa ibu, pastikan dia melihat orang yang sama dihantarnya kepada saya kerana jika anda menggunakan segala populariti dan wang itu ke jalan yang salah, ibu anda pasti kecewa."
S: Adakah anda bercadang untuk menjadi pengulas perlawanan di televisyen selepas bersara?
AF: Tidak. Bagi saya, sesetengah bekas pemain dan bekas pengurus yang menjadi pengulas perlawanan bersikap teruk. Satu perkara memalukan apabila melihat mereka mengkritik orang yang pernah bermain bersama mereka hanya semata-mata kerana mahu memberikan impak. Saya tidak akan melakukan perkara seumpama itu.
S: Bercakap mengenai persaraan, adakah anda mempunyai tarikh tertentu untuk mengundurkan diri?
AF: Tidak, saya berusia 67 tahun dan masih sihat. Saya sudah 22 tahun berada di United, tapi masih seronok setiap kali tiba di padang latihan. Saya masih seronok apabila bas pasukan kami tiba di gelanggang lawan sebelum perlawanan besar. Saya juga gembira apabila melihat pemain muda berbakat dibentuk menjadi lebih berjaya.
S:: Maknanya, boleh kita katakan di sini anda akan kekal setahun atau dua tahun lagi sebelum bersara?
AF: Saya rasa begitulah. Kita tunggu dan lihat.
S: Jika Perdana Menteri Britain, Gordon Brown seorang pemain bola sepak, di mana anda akan letakkannya dalam padang?
AF: Pemain tengah.
S: Siapa pemain terbaik pernah anda saksikan?
AF: Pele, di Stefano, Maradona, Cruyff.
S: Pengurus terhebat?
AF: Jock Stein.
S: Siapa yang akan gantikan anda? Adakah anda diberikan peluang untuk memberikan pandangan dalam isu ini?
AF: United ibarat sebuah keluarga dan saya tahu mereka mahu saya kekal sebagai duta atau memainkan peranan lebih kurang seperti itu. Jika ditanya, saya akan berikan pandangan saya, tapi saya tidak mahu menjadi 'pembantu pemandu' untuk pengurus baru itu.
S: Ada sesiapa yang anda fikirkan layak menggantikan anda?
AF: Saya belum memikirkannya.
S: Siapa pengurus terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL)?
AF: Arsène Wenger, David Moyes dan Martin O'Neill.
S: Kenapa anda hanya bermain sekali mewakili Scotland?
AF: Saya tidak perlu mengingatkan pemain kenapa keadaan itu berlaku. Ketika era saya sebagai pemain, Scotland mempunyai ramai penyerang yang handal.
S: Pencapaian terbaik?
AF: Menang tiga trofi (EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah) pada 1999, terutama cara kami bangkit ketika menentang Bayern Munich di Barcelona.
S: Kesilapan terbesar?
AF: Melepaskan Jaap Stam. Tidak diragukan lagi itu kesilapan terbesar saya.
S: Paling mengecewakan anda?
AF: Gagal mendapatkan khidmat Gazza. Dia pemain hebat dan mampu lebih menyerlah jika menyertai kami di United.
S: Jaringan tercantik United di bawah bimbingan anda?
AF: Ryan Giggs ketika menentang Arsenal di Villa Park (separuh akhir Piala FA 1999). Jaringan itu amat luar biasa.